Guru Bersara Awal: Satu Pemerhatian Bakal Guru

Ditulis oleh Danial Farook
22 hb. April 2022

Baru-baru ini, dunia pendidikan dikejutkan dengan pendedahan daripada Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin bahawa kadar persaraan dalam kalangan guru yang bersara wajib adalah lebih kurang sama dengan guru yang bersara awal. Perkara ini bermakna, ramai guru yang mula untuk memilih untuk menamatkan perkhidmatan sebagai guru sebelum umur 60 tahun. Berdasarkan tuntutan tabung kebajikan persaraan di Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), majoriti yang mengambil keputusan untuk bersara awal adalah dalam lingkungan antara 56 hingga 58 tahun. Kesatuan tersebut juga menyatakan bahawa anggaran guru yang menghantar permohonan bersara awal adalah melebihi 10,000 setiap tahun.

Isu ini sangat mengejutkan apabila trend guru bersara awal kian meningkat dari tahun ke tahun. Pada tahun 2015, sebanyak 2,777 guru yang telah memilih untuk bersara awal, manakala tahun seterusnya iaitu 2016, angkanya meningkat kepada 3,591. Trend ini menjadi lebih merisaukan apabila angka tersebut terus meningkat kepada 4,360 permohonan persaraan awal pada 2021 iaitu bersamaan dengan 1.06% jumlah keseluruhan guru. 

Satu isu tempatan dan antarabangsa

Perkara yang berlaku ini bukan fenomena yang hanya berlaku di negara kita, tetapi berlaku di peringkat global juga. Menurut kajian yang dijalankan oleh RAND American Teacher Panel (ATP), sewaktu pandemik, guru menjadi kurang pasti akan terus berkhidmat menjadi guru sehingga pencen. Buktinya, sewaktu Mac 2020, 74% guru telah melaporkan bahawa mereka akan terus menjadi guru hingga pencen, tetapi pada Mac 2021, nilainya berkurang kepada 69% sahaja yang berfikiran sama. Guru yang melaporkan kemungkinan akan meninggalkan kerjaya guru juga telah meningkat dari 24% pada Mac 2020 kepada 30% pada tahun seterusnya. 

Kajian yang lebih teliti sedang dibuat oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam ingin mencari punca guru berhenti awal. Susulan pendedahan ini, ramai pihak yang melontarkan pendapat dan kajian perihal analisis punca berlakunya isu ini. Terdapat segelintir guru yang meluahkan keluhan mengenai masalah karenah birokrasi yang terlalu cerewet, sikap murid yang makin biadap, dan kelesuan. Manakala, menurut Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik berkata, prosedur operasi standard (SOP) bertugas yang ditetapkan telah membebankan guru yang sudah berusia.

Masalah “Burnout” dalam profesion perguruan

Di samping berlakunya kes seperti di atas, merujuk kepada jawapan bertulis yang pernah diberikan oleh YB Timbalan Menteri Pendidikan 1, Dato’ Dr Mah Hang Soon, sewaktu November lalu, faktor terbesar yang mempengaruhi keputusan ini adalah kerana guru tidak berminat untuk meneruskan perkhidmatan sampai pencen, diikuti dengan faktor keluarga, masalah kesihatan, faktor beban tugas, dan faktor peribadi. Keadaan seseorang itu hilang minat untuk meneruskan pekerjaan boleh ditafsirkan kepada pelbagai perkara tetapi dapat dirangkumkan kepada ‘burnout’ atau kelesuan. Beban tugasan yang terlalu banyak dan kadar stres yang tinggi boleh menyebabkan kelesuan. Hatta, perubahan sistem pembelajaran kepada atas talian juga dapat memberi impak yang sama disebabkan proses penyesuaian yang sukar. 

Cabaran atau peluang?

Isu ini secara tidak langsung telah mengakibatkan semakin banyak kekosongan jawatan guru yang perlu diisi. Proses pencarian guru yang berpotensi untuk menggantikan guru veteran merupakan antara cabaran yang paling besar. Sesungguhnya, pengalaman serta kefahaman mereka terhadap subjek diajar amatlah penting, lebih-lebih lagi dalam merangka modul pemulihan pasca pandemik. 

Bagi sesetengah pihak, perkara ini mungkin dilihat sebagai peluang yang baik untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan pendidikan. Tetapi, dalam tempoh menunggu kemasukan guru-guru baharu, vakum kekosongan tetap perlu diisi, sekaligus menambah tugasan guru-guru semasa untuk mengajar kelas-kelas yang tiada guru. Perkara ini mungkin akan mengakibatkan guru-guru merasa lebih terbeban dengan penambahan gerak kerja, hatta, ianya juga akan mengganggu kelancaran pembelajaran para pelajar.

Langkah mengatasi guru bersara awal 

Apabila berhadapan dengan situasi sedemikian, langkah segera perlu diambil oleh pemegang taruh sistem pendidikan bagi mengurangkan bilangan guru-guru yang bersara awal. Pemerkasaan sistem sokongan emosi para guru adalah antara perkara yang perlu dilakukan. Hal ini kerana, melalui sistem ini sebuah persekitaran yang lebih kondusif dapat diwujudkan, sekaligus mengurangkan keadaan ‘burnout’ yang dialami oleh guru.   

Contohnya, langkah yang diambil di Singapura adalah semua guru akan dipersiapkan dengan latihan pembangunan profesional dalam celik kesihatan mental. Melalui inisiatif ini, guru bukan sahaja dapat menyokong keperluan pelajar dalam menghadapi masalah sosial-emosi yang mencabar, tetapi juga dapat menjadi sistem sokongan kepada guru yang lain. 

Inisiatif seperti ini wajar diwujudkan di sekolah kerana kesejahteraan guru dapat mempengaruhi kesejahteraan pelajar. Menurut artikel yang bertajuk “Is teachers’ mental health and wellbeing associated with students’ mental health and wellbeing?”, terdapat hubung kait di antara kesihatan mental guru dan kebajikan pelajar. Di saat guru menghadapi masalah depresi dan sebagainya, ianya berpotensi untuk memberi kesan kepada pelajar secara tidak langsung.

Sistem sokongan ini tidak terhenti hanya kepada kewujudan modul latihan semata-mata, tetapi juga boleh melalui pelaksanaan kumpulan sokongan guru. Kumpulan ini memainkan peranan dalam menawarkan sokongan antara satu sama lain di samping mencari strategi penyelesaian masalah berkaitan isu yang dihadapi. Seiring ini, para guru dapat meluahkan masalah-masalah yang dihadapi dan tidak sekadar menyimpannya seorang diri. Melalui penyediaan ruang ini, pihak sekolah juga dapat merangka langkah intervensi yang bersesuaian dengan permasalahan yang dihadapi oleh guru tersebut. Tindakan ini tidak perlu untuk tunggu arahan daripada pihak atasan, tetapi boleh untuk digerakkan di peringkat akar umbi di kalangan guru-guru sendiri. 

Pada peringkat kepimpinan sekolah, budaya keterbukaan dan perasaan kekitaan di kalangan kakitangan sekolah perlu diperkasakan. Berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan oleh LaTonya Wright Bolden dari University of New England, 6 daripada 10 responden bersetuju bahawa keterbukaan dan perasaan kekitaan adalah diperlukan dalam ingin memastikan guru-guru di sekolah tidak bersara awal. Jikalau terdapat guru yang menghadapi masalah, kelonggaran serta bantuan diberikan kepada guru tersebut bersesuaian dengan keperluannya. Hatta, seandainya berlaku konflik atau ketidakpuashatian di kalangan guru, mereka boleh untuk terus menyalurkan kepada pengetua tanpa rasa takut. Melalui ini, guru akan dirasai lebih dekat serta bersama dalam membangunkan sekolah. 

Refleksi seorang bakal guru

Dalam mendepani situasi yang sedang berlaku kini, pelbagai persiapan yang harus dibuat oleh bakal guru. Secara asasnya, bakal guru perlu lebih disediakan dalam pengurusan emosi kendiri. Melalui pengetahuan ini, mereka bekapasiti dalam ingin membincangkan serta menguruskan emosi agar dapat mengenal pasti garis pemisah antara waktu rehat dan bekerja. Meskipun perkara ini dilihat mudah, tetapi perkara ini dapat menyebabkan stress dan ‘burnout‘. 

Guru muda juga perlu didampingkan dengan guru veteran dari sudut kemahiran pedagogi hingga kepimpinan sekolah. Kelebihan serta kepakaran mereka wajar diturunkan kepada generasi bagi menjamin kelangsungan kepakaran. Menjadi masalah apabila 

Walaupun fenomena guru bersara awal ini dikatakan hanya melibatkan sebahagian kecil guru-guru yang berkhidmat, tetapi isu ini masih lagi perlu diberikan perhatian oleh semua pihak. Natijahnya, kebajikan guru perlu dijadikan fokus utama dalam pembangunan pendidikan negara demi menjamin kualiti pembelajaran pelajar semasa. Kebajikan dan kualiti pembelajaran pelajar seolah-olah diperjudikan seandainya tiada tindakan segera yang dijalankan dalam mengatasi masalah ini.



Danial Farook seorang pelajar Sarjana Muda Pendidikan Sains Matematik di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam. Danial aktif menganalisis serta menulis mengenai isu-isu yang berlaku di dunia pendidikan dan berhasrat untuk mengubah landskap pendidikan negara.

Related Posts

Join Our Newsletter

With fresh insights, resources and news from the Edvolution team in a free weekly newsletter.