Ditulis oleh Siti Nurizzah Tazali
28 hb. September 2022
Baru-baru ini, Jabatan Perangkaan telah mengeluarkan satu kaji selidik di mana lebih 70 peratus atau 390,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak berminat untuk menyambung pelajaran. Menurut Jabatan Perangkaan, trend yang terjadi pada tahun 2019 ini juga berterusan pada tahun 2020, dan 2021.
Meskipun, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengarahkan Akademi Sains Malaysia (ASM) melakukan semula kaji selidik berhubung isu ini dan mengesahkan data terkini, isu dan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan ini sebenarnya adalah satu perkara yang memerlukan kita semua menilai kembali sistem pendidikan di negara ini, kerana dengan angka peratusan seperti itu, berkemungkinan besar di tahun-tahun mendatang, negara bakal mengalami masalah kekurangan pakar-pakar dalam pelbagai bidang, yang pastinya bakal menyumbang kepada masalah yang lebih kritikal; produktiviti dan pembangunan negara.
Tidak kecil suara-suara yang menyatakan mengapa isu ini berlaku. Antaranya adalah kerana para pelajar ini ingin terus bekerja untuk menyara diri dan keluarga. Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi & Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee, beliau berpendapat terdapat beberapa faktor mengapa kebanyakan para pelajar ini tidak ingin menyambung pelajaran. Pertama adalah kerana isu yuran pendidikan yang tinggi. Kedua adalah disebabkan oleh permintaan industri yang mahukan pekerja berpengalaman serta tidak mementingkan tahap kelulusan pendidikan. Tiada jurusan yang sesuai dengan keputusan SPM serta penawaran gaji yang terlalu rendah adalah sebab yang membawa kepada permasalahan ini.
Namun begitu, ada juga sebahagian masyarakat yang melontarkan persoalan ini kepada para lepasan pelajar, dengan sikap sarkastik dan perbandingan tentang zaman mereka, dan zaman hari ini. Persoalannya,
APAKAH INI SALAH PELAJAR YANG TIDAK MAHU MENYAMBUNG PELAJARAN?
Untuk menjawab persoalan ini, kita harus kembali kepada realiti dalam dunia pendidikan hari ini samaada secara kita sedar, tidak sedar, atau separa sedar tentang:
- Makna Pendidikan
Saya meninggalkan alam persekolahan, kira-kira hampir 10 tahun yang lalu sebelum menyambung pengajian ke pendidikan tinggi. Saya kira sehingga hari ini, saya masih seorang pelajar dan belajar. Belajar pada saya adalah proses yang berterusan dari hari ke hari.
Pendidikan dan orang-orang yang berpendidikan sering dimaknakan dengan mereka-mereka yang mempunyai segulung ijazah. Sedangkan makna pendidikan boleh menjadi lebih luas daripada itu. Apakah makna pendidikan yang hendak kita sampaikan pada anak bangsa?
- Peranan dan Budaya Intelektual
Sejarah negara menyaksikan peranan golongan intelektual dalam memacu pembangunan negara bangsa. Usman Awang dalam ucapannya yang bertajuk “Peranan Intelektual” kepada para pelajar Malaya dan Singapura di Malaysia Hall, anjuran London Union of Malaysian Students (LUMS) pada 25 Mei 1970; masih relevan dalam mendefinisikan Intelektualisme pada hari ini.
Secara ringkasnya, Usman Awang mendefinisikan seorang Intelektual itu adalah (1) Orang yang punya ilmu pengetahuan dan fikiran yang sentiasa memperkembangkan ilmu pengetahuannya sesuai dengan perkembangan ilmu (2) Orang yang sentiasa berfikir (pemikir) dan menyumbangkan dan mengembangkan ideanya (3) Orang yang mempergunakan ilmu dan ketajaman fikirannya untuk mengkaji, menganalisa, merumuskan segala fikiran dalam kehidupan manusia, terutama masyarakatnya untuk mencari kebenaran dan menegakkan kebenaran itu (4) Orang yang mengenal kebenaran dan berani memperjuang kebenaran, orang yang mengenal kebebasan dan berani memperjuangkan kebebasan, meski bagaimanapun tekanan dan ancaman yang dihadapinya.
Negara kita memerlukan lebih banyak tenaga Intelektual dalam menganalisa permasalahan-permasalahan realiti masyarakat. Peranan Intelektual sangat penting dan perlu dipandang serius kerana para Intelektual memainkan peranan penting dalam masyarakat kerana kepemimpinan Intelektual-lah yang akan membentuk daya fikir sesuatu masyarakat dan pembangunannya.
PENDIDIKAN UNTUK PERUBAHAN
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.– Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Pendidikan sebagai satu alat perubahan tidak boleh berjalan tunggal. Pendidikan yang berkualiti memerlukan kerjasama dari pelbagai pihak. Baru-baru ini, kiita baru sahaja selesai menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Saya fikir hal paling kecil yang boleh kita lakukan dalam isu ini adalah dengan merefleksi apakah perubahan dan makna pendidikan yang kita inginkan?
Makna pendidikan mesti dibincangkan secara jujur oleh semua pihak yang berkepentingan. Hala tuju pendidikan negara yang efektif hanya akan lahir dari kejujuran kita membina anak-anak masa hadapan. Sekalipun dunia pendidikan adalah dunia yang rancak dengan perdebatan, percayalah di hujungnya nanti yang akan kita temukan adalah solusi kepada akar permasalahan, jika kita semua benar-benar menginginkan perubahan. Seperti kata Audre Lorde, “Bukanlah perbezaan-perbezaan yang memisahkan dan memecah belahkan kita. Yang memecah belahkan kita adalah kegagalan kita untuk mengiktiraf, menerima, dan meraikan perbezaan-perbezaan itu.”
Usaha berterusan dalam pendidikan di Malaysia hendaklah disemai dengan cinta. Cinta adalah hal yang mampu menggerakkan perubahan. Cinta seorang guru kepada pendidikan, adalah kekuatannya mendidik setiap hari. Cinta seorang murid pada pendidikan, melahirkan potensi-potensi baru pemberdayaan. Cinta seorang pegawai dalam pendidikan, mampu menggerakkan inovasi-inovasi baru dengan semangat ‘Learn, Connect, and Grow’.
Semangat kecintaan kepada ilmu mestilah dipupuk dari awal. Budaya cinta ilmu ini tidak hanya memberi manfaat pada diri, tetapi juga pada masyarakatnya. Imaginasi-imaginasi pendidikan kritis mestilah dibangunkan dari semasa ke semasa bagi membangun pendidikan untuk perubahan. Untuk mencapai cita sempurna dalam pendidikan ini, kita memerlukan keberanian untuk terus bergerak dengan pemikiran yang merdeka, bebas dari belenggu apapun. Pendidikan untuk perubahan hadir dengan kebertanggungjawaban melahirkan pemikiran yang merdeka kerana pemikiran yang merdeka adalah asas untuk keluar dari segala bentuk penindasan.
Siti Nurizzah is a Senior Associate for Brand and Marketing at Edvolution Enterprise. She is deeply committed to education, human rights, and social issues in order to ensure that every voice is represented at all levels. She had been a member of a few youth groups focused on social development since her early university years. Siti also writes fiction and nonfiction.